PROFIL




Assalamualaikum Wbkt, Selamat Sejahtera dan Salam KKP

Selamat datang ke Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP) UPM. PPKKP yang ditubuhkan di UPM pada 1 Ogos 2009 adalah bagi menjalani fungsi utamanya  memastikan pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) serta akta dan peraturan lain yang berkaitan, antaranya menjalankan pemeriksaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja/PTJ, menjalankan penyiasatan kemalangan dan kajian kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan dan penyakit pekerjaan, merancang, menyedia dan melaksanakan program latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang bersesuaian dan bertanggungjawab dalam perkara-perkara berkaitan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Universiti dan mengeluarkan arahan-arahan mengenainya.

Aktiviti utama yang juga acara tahunan PPKKP adalah menganjurkan Bulan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (BKKP) bagi memastikan budaya keselamatan dan kesihatan dibudaya dan ditingkatkan oleh warga UPM dari tahun ke tahun.  Pelbagai aktiviti menarik diadakan yang  melibatkan agensi luar seperti JKKP, NIOSH, JKJR, KKM, BOMBA, PDRM, JPAM, AADK, Agensi Nuklear dan agensi yang terlibat dalam mempromosikan latihan OSH.  Secara tidak langsung aktiviti dijalankan ini yang dinyatakan didalam Bahagian IV Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 dapat diterjemahkan dan dipraktikkan.

Secara keseluruhannya nadi penggerak yang merupakan tunjang PPKKP adalah dengan wujudnya  dua seksyen yang amat komited dan bertanggungjawab iaitu Seksyen Pentadbiran dan Kualiti dan Seksyen Operasi dan Perkhidmatan yang dibantu oleh Unit Bantu Mula. 

Semoga Laman Sesawang Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dapat memenuhi  maklumat berkaitan OSH  yang diperlukan oleh para pengunjung dan pengguna samada dari UPM dan di luar UPM.  Akhir kalam saya ingin mengucapkan terima kasih kerana mengunjungi Laman Sesawang Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPM.

Prof. Madya Dr. Mohd Rafee bin Baharudin
Pengarah
Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan